Teks khutbah sempena Misi Lifeline 4 Gaza
اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ لَهُ مَا فِى السَّمَوَاتِ وَمَا فِى الأَرْضِ وَلَهُ الْحَمْدُ فِى الآخِرَةِ وَهُوَ الْحَكِيْمُ الْخَبِيْرُ. أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Khatib mengajak semua pada hari Jumaat yang mulia ini untuk mempertingkatkan hubungan dengan Allah SWT., dengan muhasabah diri dan menghisab diri sendiri apakah kita telah memenuhi tuntutan untuk bertaqwa kepada Allah. Takwa itu bukan sekadar kata-kata tetapi tergambar pada perbuatan dan perkataan. Sebagaimana yang digambarkan oleh Umar al-Khattab, ”Takwa itu adalah ibarat engkau berjalan di satu jalan yang penuh dengan onak dan duri.” Bagaimanakah caranya seorang itu berjalan di atas jalan yang penuh dengan ancaman yang boleh mencederakan seseorang? Pastilah beliau akan berjalan dengan penuh hati-hati agar tidak terpijak duri sehingga boleh melukakan dan mencelakakan dirinya. Inilah gambaran orang yang bertaqwa. Sikap hati-hatinya di dalam hidup di dalam menjaga batas-batas halal dan haram apa yang disuruh dan apa yang ditegah oleh Allah menjadikan kehidupannya sejahtera di dunia dan apatah lagi di akhirat.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Semua orang mengikuti dengan cemas apa yang berlaku pada hari Isnin 31 Mei yang lepas. Dunia dikejutkan dengan tragedi serangan biadap Zionis Israel ke atas kapal Mavi Marmara yang mengetuai flotilla 6 buah kapal membawa 10,000 tan barang-barang makanan, ubat-ubatan, alat-alat perubatan, persekolahan, bahan binaan dan lain-lain keperluan asas untuk penduduk Gaza yang sudah terkepung sejak empat tahun yang lalu. Flotilla ini yang merupakan inisiatif yang dinamakan ’Lifeline 4 Gaza’ dengan objektif untuk menerobos tembok kematian ’Jaridul Maut’ yang dipasang oleh Zionis Israel disertai oleh lebih 700 orang sukarelawan dari hampir 50 negara Islam dan bukan Islam. Objektif misi ini ialah untuk menamatkan kepungan yang telah mendatangkan penderitaan yang tidak terperikan kepada penduduk Gaza sejak sekian lama. Serangan ini berakhir dengan 9 sukarelawan menemui syahid dan puluhan lain cedera parah. Di samping itu labih 600 orang dipenjarakan tetapi kemudiannya dilepaskan dan diusir sehelai sepinggang. Mereka ini termasuklah 12 orang rakyat Malaysia yang menyertai misi ini di atas kapal Mavi Marmara. Inilah harga yang mereka bayar demi menyahut seruan Allah dan seruan kemanusiaan bagi yang bukan beragama Islam.
Khatib ingin membawa ingatan para jamaah sekelian kepada satu peristiwa yang berlaku kepada Rasulullah SAW dan para sahabatnya di Mekah yang mirip dengan apa yang berlaku kini di Gaza. Sekiranya kita membandingkan peristiwa sekatan dan kepungan Israel ke atas Gaza dengan peristiwa sekatan ekonomi ke atas Rasulullah SAW dan Bani Hashim di Shi’ib (lembah) Abu Talib maka kita akan dapati sejarah telah berulang. Oleh kerana sejarah adalah satu ’sunnah’ iaitu peristiwa yang berlaku atas hukum sebab dan musababnya, maka kesudahan kepada kepungan di atas Gaza ini juga boleh dijangka. ”Dan kamu tidak akan dapati perubahan pada sunnah Allah’. ”Berjalanlah kamu di atas muka bumi dan saksikanlah apakah kesudahannya orang-orang yang melampaui batas. Demikianlah kami ceritakan kepada manusia, menjadi petunjuk dan peringatan bagi orang yang bertaqwa. Oleh itu kamu jangan merasa rendah dan merasa sedih kerana kamulah orang yang paling tinggi darjatnya sekiranya kamu orang-orang yang beriman.” (Al-Imran 137 – 139).
Ketika pemuka-pemuka Quraish menghadapi jalan buntu kerana tidak satupun helah dan makar yang mereka rencanakan untuk menghentikan dakwah Rasulullah SAW berjaya, timbul lah perancangan untuk mengenakan tekanan kepada Rasulullah SAW dan komuniti mukminin yang minoriti dengan menggunakan senjata ekonomi. Fitnah, serangan peribadi, tuduhan liar, adu domba malah penyeksaan fizikal tidak sedikitpun melemahkan jiwa umat Islam. Mereka semakin yakin dan teguh mempertahankan iman mereka. Begitu juga dalam konteks Zionis Israel pada hari ini yang menggunakan pelbagai strategi termasuklah dasar pecah dan perentah, melaga-lagakan kumpulan penentang dari kalangan rakyat Palestin, menggunakan pengaruhnya ke atas Amerika Syarikat, tekanan PBB dan masyarakat antarabangsa ke atas rakyat Palestin bahkan membunuh tokoh-tokoh pejuang Islam seperti Syeikh Ahmad Yassin as-Syahid dan Dr Abdul Aziz Rantisi as-Syahid tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Saf perjuangan rakyat Palestin semakin mantap dan sokongan kepada gerakan Islam semakin padu. Apabila pilihanraya umum diadakan di Palestin buat pertama kalinya untuk memilih ahli-ahli legislatif (parlimen) mereka memberikan kemenangan selesa kepada kelompok pejuang Islam yang tidak akan bertolak ansur sedikitpun dalam soal kedudukan Masjid al-Aqsa, kedudukan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin, hak pelarian Palestin untuk pulang ke tanah air dan kampung halaman serta negara Palestin yang dirampas secara tidak sah oleh pendatang Yahudi. Maka kita dapati regim Zionis Israel telah menggunakan pendekatan yang serupa dengan orang-orang Quraish untuk melemahkan umat Islam.
Umat islam pimpinan Rasulullah SAW semakin kuat dari sehari kesehari. Tekanan yang dikenakan tidak berbekas, sebaliknya umat Islam semakin kuat dengan masuk Islamnya Hamzah bin Abdul Mutalib dan Umar al-Khattab. Sebahagian umat Islam yang berhijrah ke Habsyah pula mendapat perlindungan dan simpati dari Raja Najasyi. Ini menyebabkan pemimpin Quraish telah sepakat untuk melaksanakn boikot total ke atas Rasulullah SAW dan keluarganya dari Banu Hashim dan seluruh komuniti muslim. Pengistiharan ini telah ditulis oleh Mansur bin Akromah dan diluluskan oleh Dewan Agung Quraish. Mulai saat itu tidak ada siapapun di kalangan penduduk Mekah yang dibenarkan untuk berurus niaga dan berkahwin dengan Banu Hasyim. Juga musuh-musuh Rasulullah SAW dan umat Islam akan disokong oleh orang-orang Quraish tanpa kecuali. Kita melihat persamaan ini pada tindak balas Israel ketika mereka terpukul dengan kemenangan gerakan Islam HAMAS dalam pilihanraya umum di Palestin meskipun pemimpin-pemimpin umat Islam berjaya mereka bunuh dan puluhan ribu rakyat Palestin dipenjarakan. Dengan memperkuda kuasa dunia, Israel mendesak Amerika Syarikat, Rusia, Kesatuan Eropah dan PBB melalui inisiatif yang dinamakan ’Quartet Timur Tengah’ telah mengenakan tekanan ke atas Palestin supaya mengiktiraf Israel, menghentikan penentangan dan bersedia untuk berdamai dengan pihak musuh yang telah merampas hak dan tanah air mereka. Jawapan dari rakyat Palestin sudah dijangka iaitu menolajk semua tuntutan yang menghinakan itu. Maka sama seperti tindakan Quraish, rejim Zionis Israel mengenakan sekatan ekonomi yang komprehensif dan menutup semua laluan dan pintu masuk ke Gaza pada tahun 2007. Sebagaimana Shi’ib Abi Talib pada zaman Rasulullah menjadi penjara begitu jugalah Gaza yang berukuran lebih sedikit dari 400 km persegi bertukar menjadi penjara terbesar di dunia. Bermula dari tahun 2007 sehingga kini, Gaza merupakan penjara terbuka (open air prison) untuk sekitar 1.5 juta rakyat Palestin.
Penderitaan rakyat Gaza tidak mungkin tergambar dengan kata-kata. Bekalan makanan terpaksa dicatu dan bekalan ubat-ubatan terputus sama sekali. Hampir 80% dari kanak-kanak Gaza mengalami malnutrition atau kekurangan zat makanan. Kita dimaklumkan dalam keadaan terputus bekalan makanan ada keluarga yang mengutip rumput dijalanan dan direbus untuk meredakan tangisan anak-anak yang pedih perut kerana kelaparan. Dalam keadaan terkepung dan tidak mendapat perlindungan mereka diserang pula secara bertalu-talu dengan sangat biadap pada awal tahun 2009 sehingga membunuh sekitar 1,500 orang rakyat awam. Rumah-rumah, masjid, pejabat kerajaan, hospital, sekolah, universiti, kilang bahkan pejabat PBB menjadi sasaran bedilan tentera Israel. Walaupun sudah setahun lebih serangan biadap tersebut berlaku namun sehingga kini mereka tidak berdaya untuk membaik pulih dan membina semula bangunan yang runtuh kerana tidak ada bahan binaan yang dibenarkan masuk ke Gaza.
Senario ini menyamai apa yang dilalui oleh Rasulullah SAW di Shi’ib Abi Talib. Oleh kerana terputus bekalan makanan maka umat Islam hanya memakan sebiji kurma atau separuh biji kurma sehari. Adakalanya mereka tidak punya sebarang makanan untuk mengalas perut yang kelaparan. Seperti yang diceritakan oleh Saad bin Abi Waqash. ”Pada satu hari aku keluar ke lembah dan aku terjumpa kulit unta yang telah kering. Lalu aku bakar dan racik, selepas itu aku rendam dalam air dan itulah makanan aku untuk selama tiga hari.”
Tangisan kanak-kanak yang kelaparan di malam hari telah menimbulkan simpati yang mendalam di kalangan orang-orang Quraish yang masih lembut hatinya. Di kalangan mereka seperti Hakim bin Hizam, Abul Ash bin Rabi’ dan Hisyam bin Umar. Mereka seringkali memunggah unta mereka dengan bekalan makanan dan membawa unta-unta tersebut ke lembah Shi’ib Abi Talib dengan harapan bekalan tersebut sampai ke tangan umat Islam. Namun kawalan ketat yang dibuat oleh peronda Quraish seringkali menggagalkan usaha ini. Sering juga mereka bertembung dengan Abu Jahal sehingga mencetuskan perbalahan di antara mereka. Semakin lama simpati di kalangan orang-orang Quraish semakin mendalam dan akhirnya menjadi gelombang protes yang tidak dapat dibendung oleh orang-orang yang berkeras untuk meneruskan boikot. Mereka bertanya sesama sendiri ”wajarkah tuan makan makanan yang terbaik sementara kerabat tuan dalam kebuluran dan tidak berpakaian.” Sebahagian yang lain pula berkata ’Jika saya bersendirian maka saya tidak berupaya untuk menghadapi Quraish, tetapi jika orang yang bergabung dengan saya maka saya tidak teragak-agak untuk mengoyak penjanjian sekatan di kaabah.”. Bergabunglah beberapa orang Quraish di antara mereka Hisyam bin Umayr, Zuhair bin Abi Umayah, Mut’am bin Adi, Abul Bakhtari dan Zam’ah. Mereka berlima mengistiharkan pembatalan perjanjian sekatan dengan sokongan ramai orang-orang Quraish yang lain sehingga tidak dapat dibantah oleh Abu Jahal. Mereka berhasrat untuk mengoyakkan surat perjanjian tersebut tetapi mendapatinya telahpun dimakan anai-anai kecuali pada ayat yang tertulis ’Dengan Nama Allah”.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. Hari ini penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Gaza sejak sekian lama telah mula membina simpati masyarakat antarabangsa. Sebagai manusia yang mempunyai hati dan perasaan mereka merasai apa yang dirasai oleh orang-orang Quraish ketika Rasulullah SAW dan umat Islam dikepung di Shi’ib Abi Talib. Hari ini hampir 700 orang telah menyahut seruan untuk menerobos tembok kematian Gaza. Mereka datang dari lebih 40 negara samada muslim atau bukan muslim dengan satu tujuan untuk membuka sekatan kejam yang dideritai oleh rakyat Gaza. Sebagaimana Hakim bin Hizam mereka membawa makanan, ubat-ubatan, alat-alat tulis dan persekolahan, alat-alat sukan dan permainan, gen-set, peralatan perubatan dan bahan-bahan binaan di atas sembilan buah kapal. Sebagaimana Abu Bakhtari dan orang-orang Quraish yang lain mereka datang dengan satu message yang tegas bahawa mereka tidak redha dengan kezaliman yang ditimpakan ke atas sauadar-saudara kita di Gaza dan tidak ada suatupun yang akan menghalang mereka untuk menghentikan sekatan itu. Sebagaimana yang disebut oleh ketua delegasi sukarelawan Malaysia seramai 11 orang yang akan bersama misi kemanusiaan Lifeline 4 Gaza di atas kapal Mavi Marmara iaitu ’Mereka tetap akan sampai ke Gaza meskipun harus berenang ke sana’. Namun mereka telah diserang dengan penuh kebaculan dan dipaksa untuk menyerahkan kapal dan barangan yang mereka bawa dirampas. Meskipun 9 orang syahid dalam misi ia tidak mematahkan semangat mereka. Kejadian ini akan membuka ruang untuk satu misi yang lebih besar lagi. Ia digambarkan oleh ketua penganjur Lifelne 4 Gaza dari IHH Turki menegaskan bahawa ’Pelan A ialah kami akan memasuki Gaza, Pelan B kami akan memasuki Gaza dan Pelan C kami akan memasuki Gaza’. Dalam ertikata yang lain akhirnya misi untuk membebaskan penduduk Gaza akan mencapai kejayaan.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah. Yakinlah bahawa perjuangan untuk pembebasan bumi Palestin, Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa akan diterajui sendiri oleh Allah SWT. Allah SWT akan menggerakkan jundi-jundi (tentera-tenteranya) untuk menghadapi musuh-musuh Allah dan umat Islam. Allah SWT akan menggerakkan dhamir umat manusia meskipun mereka dari kalangan bukan muslim untuk bersama mendukong misi yang mulia ini. Bahkan mereka bersama dengan saudara-saudara muslim di dalam misi berbahaya ini tidak gentar untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah diserang secara ketenteraan oleh pihak Israel. Bagi saudara-saudara kita yang menyertai misi ini mereka sudah tekad untuk mewakafkan jiwa mereka untuk memenangkan Islam. Bagi mereka syahid adalah sesuatu yang mereka dambakan. Semuga Allah menguatkan hati mereka dan hati kita semua kepada Islam dan perjuangannya. Semuga Allah memenangkan Islam dan menjayakan misi ini akhirnya. Bagi kita yang menyaksikan peristiwa penting ini dari jauh marilah kita hayati amanat sahabat-sahabat yang telah pun membuktikan kebenaran kata-kata mereka apabila berdepan dengan musuh Allah dan Rasulnya di laut Mediterranean yang luas terbentang
“Sebagaimana kita sedia maklum terdapat pelbagai kemungkinan pengakhiran misi ini dan Allah jua yang maha mengetahui. Pohon doa pengakhiran yang terbaik bagi misi dan ahli-ahlinya serta semua yang ditinggalkan. Pengakhiran terbaik bagi pejuang tidak syak lagi adalah pengakhiran syahid.”
“Doakan kami, sahabat-sahabatku yang diredhai Allah untuk yang terbaik kepada misi ini dan juga saudara-saudara kita di Palestin. Semoga kita akan bertemu di tempat yang terbaik di akhirat nanti. Kepada Allah kita berserah.”
“Aku hanya berwasiat pada kalian andainya kami tiada – teruskanlah perjuangan ini, tingkatkanlah dakwah kepada masyarakat, mantapkanlah tarbiyah diri, keluarga dan anak-anak didik kalian yang ada.”
“Jangan biarkan darah yang gugur di bumi Al-Aqsa menjadi hujah menentang kita di hadapan Allah atas kelalaian, kemalasan dan kejumudan amalan-amalan kita.”
“Ya Allah! Bantulah kami”
وَمَا لَكُمْ لاَ تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاء وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَـذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا وَاجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا
4:75 "Mengapa kamu tidak mau berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita maupun anak-anak yang semuanya berdoa: ""Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau!""."
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Kita diperingatkan oleh Allah SWT di dalam al quran
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَـئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
9:71 "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
Sabda Rasulullah SAW:
“Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, dia tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh membiarkannya”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Sesungguhnya membantu saudara seislam yang diserang, dizalimi dan ditindas oleh musuh-musuhnya adalah merupakan satu tuntutan ukhuwah. Tuntutan ukhuwah di Dalam Islam tidak mengenal batas-batas Negara, bangsa dan keturunan. Selama mana seseorng itu mengucap kalimah syahadah maka dia ada saudara dalam Islam yang wajib dibela dan dipertahankan. Jika dia disakiti dan dianiaya menjadi tanggungjawab umat Islam untuk merawat, menghilangkan sebab-sebab yang menimbulkan kesakitan tersebut dan menghapuskan penganiayaan dan kezaliman yang dilakukan ke atas dirinya. Ini adalah kerana Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud:
“Umat Islam adalah ibarat satu tubuh. Jika sebahagian tubuh merasa sakit maka seluruh tubuh akan merasakan sakitnya dan tidak boleh tidur malam.”
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah.
Atas rasa tanggungjawab dan prihatin yang amat mendalam terhadap kezaliman yang sedang berlaku ke atas umat Islam, khatib mengsyorkan beberapa tindakan praktikal yang boleh dilakukan oleh umat Islam.
Pertama, khatib menyeru umat Islam supaya bermunajat kepada Allah SWT dengan sungguh-sungguh agar Allah mengeluarkan kita dari keadaan yang lemah ini dan mengampuni kealpaan selama ini. Seterusnya kita memohon kepada Allah agar memberi kekuatan kepada seluruh umat Islam supaya bangkit dari kelemahan ini untuk berhadapan dengan musuh-musuh Islam. Seterusnya secara khusus kita memohon kepada Allah agar diberikan kemenangan ke atas umat Islam di Palestin ke atas musuh-musuh zionis yahudi.
Kedua khatib mengsyorkan agar umat Islam tidak teragak-agak untuk menghulurkan bantuan kewangan kepada suadara-saudaranya di Palestin. Ini bersesuaian dengan anjuran Allah SWT agar umat Islam berjihad dengan harta dan jiwa raga mereka. Firman Allah SWT dari surah as Saff
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ هَلۡ أَدُلُّكُمۡ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍ۬ تُنجِيكُم مِّنۡ عَذَابٍ أَلِيمٍ۬ (١٠) تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٲلِكُمۡ وَأَنفُسِكُمۡۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ (١١)
“Wahai orang yang beriman. Sukakah kamu diberitahu satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari seksa api neraka iaitu kamu beriman dengan Allah dan Rasulnya, dan berjihad pada jalannya dengan harta-harta kamu dan jiwa raga kamu. Itulah yang baik bagi kamu jika kamu mengetahui.
Akhirnya khatib ingin mengingatkan umat Islam bahawa kezaliman dan penganiayaan itu menimpa bumi yang diberkati, bumi para Nabi, bumi Isra’ dan mikraj dan bumi di mana terletak masjid al Aqsa yang dimuliakan Allah SWT di samping masjid al Haram dan masjid a-Nabawi.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.
Disediakan oleh
Dr Hafidzi Mohd Noor
PACE (Palestine Centre of Excellence)
0 comments:
Post a Comment