Tuesday, June 8, 2010

Misi LL4G berjaya capai matlamat strategik

Sumber: Malaysia Harmoni

Isnin, 07 Jun 2010 08:24 A Zaid Omar

a


KUALA LUMPUR - Walaupun niat untuk menghantar sendiri bantuan ke Gaza tidak tercapai, misi Projek Lifeline for Gaza (LL4G) telah mencapai matlamat yang lebih besar dan murni. Menurut salah seorang anggota sukarelawan Malaysia yang terlibat, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus, misi mereka memang dirancang untuk mempunyai unsur strategik yang sangat besar.


“Perkara paling penting yang ingin dan telah tercapai ialah menyedarkan dunia bahawa satu kezaliman yang sangat besar sedang berlaku di Gaza”, ujar beliau yang juga merupakan Pengerusi Aqsa Syarif, sebuah badan kebajikan Palestin yang berpusat di Kajang, Selangor. Beliau berkata demikian dalam sesi pertemuan khas dengan anggota-anggota sukarelawan Aqsa Syarif di Masjid Wilayah Persekutuan semalam.


Menurut beliau, peristiwa ini telah menggegarkan dunia, menyebabkan Israel dikutuk dan dikecam di serata dunia. Malah pemimpin dunia Arab, Islam dan dunia mula sedar dan menyatakan pendirian tegas mengenai kezaliman Israel bukan sahaja kerana menyerang Freedom Flotilla tetapi kerana berterusan mengenakan kepungan ke atas Gaza, termasuk gesaan terbaru oleh Setiausaha Agung Bangsa-bangsa Bersatu. Beliau juga menyuarakan penghargaan di atas pendirian tegas kerajaan Malaysia dalam isu ini.


Sementara itu, ahli Lembaga Pengarah Aqsa Syarif merangkap wakil Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Dr Selamat Aliman yang turut menyertai misi tersebut menyatakan bahawa ini adalah kali kedua beliau menyertai misi penghantaran bantuan ke Gaza.


Misi kali pertama beliau pada bulan Januari tahun lepas menemui jalan buntu kerana Kerajaan Mesir tidak mahu membuka laluan ke Gaza melalui Rafah. Tetapi pada kali ini, walaupun berdepan dengan peristiwa yang mengancam nyawa, ia tetap berjaya.


Menurut Dr. Selamat, pada asalnya perancangan pihak Freedom Flotilla ialah untuk berlabuh di perairan antarabangsa berhampiran Gaza dan berunding dengan pihak rejim Tel Aviv untuk membenarkan penghantaran bantuan ke Gaza. “Kami bersedia untuk menunggu kerana kapal Mavi Marmara mempunyai bekalan makanan dan air bersih selama satu bulan setengah. Kita merancang, Allah juga merancang dan perancangan Allahlah yang terbaik.”


“Walaupun peristiwa serangan dan penahanan kami memeritkan, tetapi kami melihatnya sebagai satu kejayaan memperjuangkan isu Palestin dan membela Masjid Al-Aqsa. Ia membuka minda dan mata dunia kepada kezaliman Israel,” ujar beliau. Bukti jelas kemenangan dalam ‘pertempuran’ ini ialah misalnya banyak negara kini sedang menilai semula hubungan diplomatik dengan Israel manakala Mesir telah membuka semula laluan bantuan ke Gaza melalui Rafah.


Majlis pertemuan khas tersebut dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr Zin Kandar, Setiausaha Aqsa Syarif dan dihadiri oleh lebih 150 orang aktivis dan sukarelawan Aqsa Syarif dari seluruh negara.


0 comments:


FREE PALESTINE

A Song For Palestin

FREE PALESTINE
FREE PALESTINE
FREE PALESTINE

  © Blogger template 'Ladybird' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP