Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga dan sahabat-sahabat baginda serta semua yang mengikutinya sehingga ke hari pembalasan.
Amma ba’du…
Sesungguhnya kebebasan adalah satu daripada fitrah manusia, anugerah dari Allah untuk seluruh makhluk-Nya. Tidak ada seorangpun – walau setinggi mana kedudukannya - berhak untuk merampasnya.
Hakikat ini sangat jelas. Allah s.w.t. sendiri tidak memaksa sesiapapun supaya beriman kepada-Nya sebagaimana ditegaskan di dalam firman-Nya (لَآ إِكۡرَاهَ فِى ٱلدِّينِۖ), maksudnya “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam)…” (Al-Baqarah:256).
Kebebasan paling tinggi terpapar di persada maya, pada keEsaan Allah Yang Maha Tunggal, mencipta dan mentadbir. Dan perhambaan diri kepada Dia Yang Esa adalah kemuncak kebebasan paling tinggi bagi umat manusia. Dengan mengabdikan kepada Allah, manusia bebas dari menyembah tiga ‘tuhan’ yang sebenarnya tidak layak dilayak disembah: batu, manusia dan hawa nafsu.
Pengabdian diri kepada Allah juga membebaskan manusia dari kongkongan pengabdian kepada adat resam dan budaya bangsa, bebas dari pengaruh manusia dan bebas dari cengkaman nafsu durjana. Dengan mengabdikan diri kepada Allah, darjat manusia terangkat ke mercu ketinggian, mencecah kebenaran, menjadi hamba kepada Yang Maha Benar, Maha Esa dan Maha Tunggal, tempat bergantung segala sesuatu, tiada bandingan dan tiada sekutu.
Sesebuah Negara tidak akan bebas, tidak akan memperoleh kemerdekaan yang hakiki dari sebarang bentuk penjajahan kecuali apabila rakyatnya telah merdeka jiwa raganya. Inilah maksud firman Allah s.w.t. (إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡۗ ) maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri…” (Ar-Ra’d:11).
Dan bangsa yang paling berhak hidup ialah yang paling banyak berkorban untuk mencapai kebenaran. Sesungguhnya Islam telah datang untuk membebaskan manusia daripada perhambaan kepada selain Allah. Hal ini pernah diungkapkan dengan begitu indah sekali oleh pahlawan Islam Rab’ei bin ‘Aamir: “Sesungguhnya Allah telah membangkitkan kami supaya kami mengeluarkan hamba-hamba-Nya daripada menyembah hamba kepada menyembah Tuhan sekelian hamba, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.
Kata-kata ini sejajar dengan ungkapan yang pernah ditegaskan oleh Nabi Allah Musa a.s. ketika beliau berjuang untuk membebaskan Bani Israel dari cengkaman Firaun (وَتِلۡكَ نِعۡمَةٌ۬ تَمُنُّہَا عَلَىَّ أَنۡ عَبَّدتَّ بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ ) maksudnya “Dan budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil.” (Asy-Syu’ara’:22)
Wahai dunia seluruhnya…
Sesungguhnya kebebasan manusia semua tidak akan tegak kecuali di bawah naungan Islam. Islam memberikan kebebasan kepada semua golongan hidup di bawah dakapannya tanpa membeza-bezakan antara manusia berdasarkan agama yang dianutinya, bangsa dan warna kulitnya, status sosial serta darjat keturunannya. Semuanya sama dari segi hak mendapat kebebasan.
Islam berpegang kepada prinsip manusia semuanya berasal dari Adam, dan Adam berasal dari tanah. Tiada kelebihan bagi orang Arab atau Ajam kecuali dengan taqwa. (يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬) maksudnya “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat:13)
Adakah di sana terdapat satu pendirian yang lebih hebat daripada pendirian yang telah ditunjukkan oleh Umar bin al-Khattab ketika dia melayan gabenornya di Mesir, ‘Amru bin al-Aas r.a.? Anak kepada gabenor, telah menampar seorang Kristian sambil berbangga dengan kedudukan dan kemuliaan datuk neneknya. Lalu Umar mengeluarkan perintahnya: “tangkap anak orang yang mulia itu, dan kenakan dia hukuman qisas dengan perintah Umar!” Dan kepada ‘anak orang yang mulia’ itu Umar mengajukan soalan cepu masnya: “bilakah kamu dibenarkan memperhambakan manusia, sedangkan mereka telah dilahirkan ibu mereka sebagai insan yang merdeka?”
Sesungguhnya Islam, sejak dahulu, sekarang dan akan datang merupakan payung rahmat, keadilan, kebebasan, persamaan yang meliputi seluruh persada bumi dan menaungi seluruh manusia, hamba kepada Penciptanya. Kebebasan adalah sesuatu yang difardhukan.
Sesungguhnya Imam al-Banna telah menegaskan sejak permulaan munculnya gerakan dakwah ini bahawa kemerdekaan adalah sesuatu yang difardhukan di dalam Islam.
Beliau berkata: “Apabila kamu ditanya, kamu menyeru manusia kepada apa? Maka jawablah, kami menyeru kepada Islam yang dibawa oleh junjungan kami, Muhammad s.a.w. dan kerajaan adalah sebahagian daripadanya, kebebasan adalah satu fardhu daripada fardhu-fardhunya. Sekiranya mereka bertanya lagi, itu adalah politik. Maka katakanlah kepada mereka, inilah Islam dan kami tidak mengenali pembahagian-pembahagian yang kamu nyatakan itu! Seterusnya beliau menyatakan dengan lebih jelas lagi: adapun kata-kata kami bahawa kami adalah orang politik, yang kami maksudkan ialah kami mengambil berat tentang urusan umat kami dan kami beriktiqad bahawa kekuatan dalam melaksanakan ajaran Islam adalah sebahagian daripada ajaran Islam itu sendiri. Ia termasuk di dalam ruang lingkupnya dan teradun di bawah hukum-hakamnya. Kami percaya bahawa kebebasan politik dan kemuliaan bangsa adalah satu tiang daripada tiang-tiang Islam yang utuh, satu kewajipan daripada kewajipan-kewajipannya.
Dan kami berusaha bersungguh-sungguh untuk menyempurnakan kebebasan serta institusi pelaksanaannya. Dalam kami melaksanakan usaha ini, kami yakin bahawa kami tidak mendatangkan sesuatu yang baru. Semua ini diketahui oleh setiap muslim yang mempelajari Islam dengan betul. Kami tidak mengetahui tentang dakwah kami, dan tidak boleh membayangkan kewujudannya melainkan untuk melaksankan tujuan ini. Kami tidak akan berganjak daripadanya walau seurat rambut sekalipun daripada tugas dakwah kepada Islam dengan makna ini. Islam tidak menuntut daripada muslim berdakwah dengan sekadar memberi nasihat dan peringatan sahaja.
Sebaliknya Islam sentiasa menyeru agar berjuang dan berjihad (وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ ) maksudnya, “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.” (Al-Ankabut:69)
Wahai pendokong kebenaran,
Inilah din kita. Inilah kedudukan kebebasan di dalam agama Islam kita. Sesungguhnya kita telah merealisasikannya. Dan kita telah jadikan ia benar-benar terlaksana di alam nyata. Maka dunia telah mendapat ni’mat daripadanya, telah mengecapi kebahagiaan dan keamanan dengannya.
Maka apakah sumbangan kalian (wahai dunia barat)?
Apa yang kamu persembahkan adalah serangan yang tidak berperi kemanusiaan.
Apa yang tercatat di dalam deklarasi sejagat tentang hak asasi manusia, pengisytiharan undang-undang yang melindungi hak-hak manusia, semua itu hanya sekadar untuk mempastikan agar rakyat tidak memberontak menentang kezaliman dan penindasan kalian. Kemudian tercatat perkara (3) daripada deklarasi itu: bagi setiap individu hak untuk hidup, kebebasan dan keselamatan diri, dan perkara (5): tidak ada seorang manusiapun yang boleh disiksa, dihukum, dikasari, dilayan dengan cara yang buruk atau dijatuhkan kehormatan dirinya.
Namun dari segi praktiknya apa yang kamu telah sumbangkan kepada umat manusia wahai dunia yang kononnya bertamadun? Semuanya adalah meruntuhkan apa yang telah wujud sebelumnya. Perang dunia sebagai contoh, yang telah menghancurkan segala sesuatu, tidak ada umat Islam yang terlibat walau sekelumit. Bom atom di Jepun, pembunuhan jutaan manusia di Eropah, pengusiran bangsa Algeria dari Perancis, pengusiran rakyat Libya dari Itali, apa yang dilakukan oleh British di Mesir, Syria, Iraq, India, Pakistan dan Afghanistan, menghitamkan titik-titik sejarahnya. Begitu juga apa yang dilakukan oleh Amerika di Vietnam dan Korea. Serangan tiga penjuru (British, Perancis dan Rejim Zionis) ke atas Mesir, serangan Zionis ke atas Mesir tahun 1967, serangan ke atas Afghanistan yang kadang-kadang datangnya dari Rusia dan kadang-kadang datangnya dari Amerika dengan sokongan dunia, serangan ke atas India dan Pakistan, serangan ke atas Iraq, Somalia dan Yaman… Bermacam-macam peperangan ke atas Lubnan, Bosnia, Kosovo, Chechnya, serangan-serangan ke atas Palestin di Jenin, Gaza dan lain-lain.
Secara ringkasnya tiada suatu daerahpun di muka bumi ini melainkan kamu telah tumpahkan darah di atasnya. Dan pada setiap tempat itu pasti berlaku pembunuhan kanak-kanak, wanita, orang tua, orang awam, orang yang tidak bersenjata, perobohan rumah-rumah kediaman, masjid-masjid, hospital, pusat-pusat bantuan mangsa keganasan yang dikendalikan oleh PBB dan sekolah-sekolah.
Apabila terpadamnya satu peperangan dengan izin Allah, mereka nyalakan pula api peperangan yang lain. Semua peperangan dunia, boleh dikatakan merekalah pencetusnya. Maha benarlah Kalam Allah (كُلَّمَآ أَوۡقَدُواْ نَارً۬ا لِّلۡحَرۡبِ أَطۡفَأَهَا ٱللَّهُۚ وَيَسۡعَوۡنَ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَسَادً۬اۚ ) maksudnya: “Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi,…” (Al-Maidah:64).
Tentang permusuhan etnik pula, lihat apa yang dilakukan oleh Amerika terhadap Red Indian dan bangsa kulit hitam di Afrika. Begitu juga tindakan Barat mengekang kebebasan umat Islam dan menghalang hak-hak asasi mereka, menceroboh kehormatan mereka, menodai masjid-masjid mereka, membakar dan mencemarinya. Semua itu disaksikan secara terang-terangan dari jauh dan dekat.
Tentang penjara kezaliman, penyiksaan dan penahanan tanpa mengikut undang-undang, lihatlah di Guantanamo, Abu Gharib, penjara-penjara rahsia di Syria, Iraq, Eropah, dalam Negara yang dirampas Zionis Yahudi dan di kebanyakan Negara-negara dunia, Arab dan Islam. Semua itu tidak berhajat kepada bukti akan kewujudan dan kezalimannya. Ia diiktiraf oleh semua Negara, pemerintah, badan-badan dunia dan institusi-institusi antara-bangsa. Itulah erti rahmat kamu kepada umat manusia, keadilan kamu, persamaan sesama manusia, kebebasan dan demokrasi yang kamu laung-laungkan. Palestin – luka yang dalam dan darah yang membuak.
Wahai manusia yang merdeka di Barat, wahai umat yang berakal di seluruh dunia!
Tibalah masa untuk kamu undur dari kezaliman dan keganasan kamu?
Tibalah masa untuk kamu perbaiki apa yang dirosakkan oleh datuk nenek kamu. Kamu telah menanamkan rejim zionis ini secara zalim di atas bumi kami. Maka menjadi kewajipan kamu mencabutnya dengan adil dari bumi kami. Kemudian, telah tiba masanya untuk bangsa yang diusir dari tanah airnya dan rumah kediamannya untuk merasai ni’mat pulang semula ke tanah air, menghirup udara dan mengecapi segala kebaikannya.
Telah tiba masanya untuk bangsa Palestin meni’mati kebebasan, kemuliaan, kehormatan di tanahairnya. Sekiranya kamu tidak laksanakannya, maka daerah itu tidak akan aman, bahkan seluruh dunia tidak akan aman. Tidak akan ada sesiapapun yang berasa aman dan selamat selagi rakyat Palestin tidak mengecapinya. Dan mereka sekali-kali tidak akan mengecapi keamanan melainkan rejim zionis yang merampas itu nyah dari daerah ini.
Angkatan LifeLine 4 Gaza mempunyai alasan di hadapan Tuhannya. Sesungguhnya Gaza telah menyumbang kepada umat Arab dan umat Islam satu gambaran yang hidup tentang apa yang sepatutnya dilakukan oleh setiap muslim, kerajaan dan Negara. Mereka sentiasa melaungkan slogan: jangan kamu takut kepada penguasa yang mengangkat dirinya sebagai raja kepada seluruh manusia, yang menuntut supaya semua manusia tunduk kepada kehendak mereka semata-mata walau terpaksa pengorbankan kebebasan, kehormatan, aqidah dan tanah air sendiri. Mereka mengangkat slogan di hadapan kita: iman yang kuat tidak mungkin dapat dipatahkan, walaupun masa berputar silih berganti.
Bangsa yang teguh pendiriannya pasti akan menang. Kata seorang penyair: Apabila suatu bangsa pada suatu hari telah menetapkan ia akan hidup Maka taqdir pasti akan menyahut kemahuannya itu Malam pasti akan berlalu Rantai-rantai yang mengikat pasti akan terlerai. Sesungguhnya mereka melaungkan di hadapan kita dan di hadapan musuh-musuh kita: sesungguhnya muslimin adalah umat yang tidak akan pupus dan tidak mati. Muslimin akan terus hidup dengan para syuhada’nya, anak-anak mereka akan hidup dengan mengejar syahid.
Kehidupan mereka yang syahid adalah kehidupan bagi umat Islam dan kebanggaannya. Sesungguhnya mereka melaungkan bersama kita: sesungguhnya kebebasan tidak akan diberi oleh perampas, kebebasan tidak boleh ditagih dengan cara rundingan. Tidak pernah terjadi sepanjang sejarah, perampas akan keluar dari bumi yang dirampas kecuali dengan melawan mereka. Satu bangsa tidak akan mencapai kebebasan kecuali dengan jihad. Sesungguhnya sejarah tidak pernah menulis cerita kebebasan dengan dakwat, tetapi dengan darah.
Alangkah tepatnya ungkapan seorang penyair:
Tidak akan tercapai cita-cita dengan angan-angan
Tetapi dunia akan dikuasai dengan perjuangan
Suatu kaum tidak akan sulit mencapai cita-citanya
Andainya mereka tidak berhenti dari berusaha
Mereka berkata kepada kita: sesungguhnya kepungan, kelaparan pembunuhan tidak akan mematahkan semangat pencari kebebasan dan pembebasan, pencinta kemuliaan dan kehormatan. Sesungguhnya dalam perjuangan di jalan Allah dan membebaskan tanah air serta memerdekakannya semua kesusahan enteng belaka.
Mereka melaungkan kepada dunia yang merdeka supaya mengangkat kepungan dan kezaliman daripada Gaza melalui ketetapan antara-bangsa yang adil sebagaimana mereka telah dizalimi dengan ketetapan antara-bangsa yang zalim.
Dan kita berkata kepada dunia seluruhnya: tibalah masanya untuk kamu memukul rejim zionis yang merampas dengan tangan besi, rejim yang tidak henti-henti melanggar ketetapan-ketetapan antara-bangsa ke atas Palestin. Kini kejahatannya makin terserlah di hadapan mata dunia dengan jenayah ala lanunnya yang terbaru, merampas Freedom Flotilla di perairan antara-bangsa.
Sungguh aneh dunia ini. Semua Negara bangkit untuk menghalang lanun di perairan Somalia, Majlis Keselamatan bersidang, mengumpul kekuatan laut dari semua Negara dengan ketetapan yang cukup pantas untuk menghentikan lanun yang berupa individu-individu. Namun pada masa yang sama PBB membutakan matanya, tidak bermaya tangannya, kelu lidahnya untuk menyekat lanun zionis yang mengotorkan tangannya dengan darah puluhan rakyat pelbagai Negara, yang memijak-mijak kehormatan mereka dan menceroboh hak-hak-hak mereka. Seolah-olah PBB dan majlis keselamatan tidak diwujudkan kecuali untuk mewujudkan rejim zionis dengan ketetapan antara-bangsa yang zalim kemudian melindunginya dengan ketetapan antara-bangsa yang zalim.
Kita berkata kepada saudara kita di Palestin:
Sabarlah wahai ahli Palestin, sesungguhnya kemenangan itu akan tercapai dengan kesabaran satu saat sahaja. Fajar pasti menyinsing, janji Allah pasti datang. وَنُرِيدُ أَن نَّمُنَّ عَلَى ٱلَّذِينَ ٱسۡتُضۡعِفُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَنَجۡعَلَهُمۡ أَٮِٕمَّةً۬ وَنَجۡعَلَهُمُ ٱلۡوَٲرِثِينَ وَنُمَكِّنَ لَهُمۡ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَنُرِىَ فِرۡعَوۡنَ وَهَـٰمَـٰنَ وَجُنُودَهُمَا مِنۡهُم مَّا ڪَانُواْ يَحۡذَرُونَ
Maksudnya: “Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya). Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu.” (Al-Qasas: 5-6)
Wahai Negara Arab dan Islam Wahai pertubuhan-pertubuhan Islam Wahai Jamiah Arabiyyah,
Maralah untuk memecahkan kepungan yang menyekat saudara-saudara kamu di Gaza.
Berjalanlah dalam satu kafilah menuju ke Palestin.
Janganlah kamu takut kepada Amerika yang mendokong rejim zionis, yang menutup jenayah mereka. Jangan kamu gerun kepada rejim zionis. Sesungguhnya telah terbongkar kelemahan mereka dan ketidak upayaan mereka.
Cukuplah bagi kamu berada dalam kehinaan hampir empat tahun, kini Freedom Flotilla pula mendahului kamu.
Mereka telah menghulurkan syuhada’, sedangkan bilangan kamu tidak kurang daripada mereka. Selepas ini orang lain pula akan mengikuti jejak mereka sekalipun angkatan pertama dihalang oleh rejim zionis dengan cara yang tidak bermaruah dan tidak mematuhi sebarang undang-undang dan perjanjian antara-bangsa.
Ketahuilah bahawa kepungan akan dipecahkan dari Gaza sama ada kamu mara atau kamu mundur. Tetapi kami menyeru kamu demi mempertahankan Islam, demi hak persaudaraan Islam, demi hak kejiranan supaya kamu mencapai kemuliaan dan membasuh kehinaan dari diri kamu.
Ketahuilah wahai umat Islam, sesungguhnya jihad sekarang ini adalah fardhu ‘ain. Wajib di atas para pemerintah, jika mereka sendiri enggan mengangkat bendera jihad, jangan menghalang rakyat dari melakukannya. Mereka hendaklah membuka sempadan untuk memberi laluan kepada mujahidin (وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُ ۥۤۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِىٌّ عَزِيزٌ ) maksudnya: “…dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Al-Hajj:40).
Ketahuilah bahawa kebatilan tidak akan menang dalam sesuatu pertempuran apabila kebenaran bangkit menentang. Apabila bertembungnya dua musuh ‘kebenaran dan kebatilan’, pertempuran antara keduanya akan berlaku dalam beberapa pusingan.
Pusingan yang awal kebatilan menang, kemudian pertempuran akan berakhir dengan kemenangan kebenaran. Inilah rahsia firman Allah (وَٱلۡعَـٰقِبَةُ لِلۡمُتَّقِينَ ) “…dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.” (Al-Qasas:83) إِنَّ ٱلۡبَـٰطِلَ كَانَ زَهُوقً۬ا “… sesungguhnya yang batil itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.” (Al-Isra’:81) وَكَانَ حَقًّا عَلَيۡنَا نَصۡرُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ “… dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.” (Ar-Rum:47) وَيَوۡمَٮِٕذٍ۬ يَفۡرَحُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ (٤) بِنَصۡرِ ٱللَّهِۚ يَنصُرُ مَن يَشَآءُۖ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ (٥) وَعۡدَ ٱللَّهِۖ لَا يُخۡلِفُ ٱللَّهُ وَعۡدَهُ ۥ وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ “… dan sesudah berlakunya dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira; Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Ar-Rum: 4, 5, 6)
Allah Maha Besar dan segala puji hanya untuk Allah.
Artikel asal: http://www.ikhwanonline.com/Article.asp?ArtID=65986&SecID=213